Salam 1 Malaysia, Harap semua sihat sejahtera. Tujuan saya membina blog ini ialah ingin menyampaikan ilmu pengetahuan Bahasa Malaysia kepada murid-murid serta mengkongsikan ilmu dengan rakan-rakan. Murid-murid juga boleh mendapatkan latihan yang mudah melalui sini.

Jumaat, 30 September 2011

Asal-usul Kuih Bulan

         

 Perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan (120 Sebelum Masihi - 1341 Masihi). Pada zaman peperangan, rakyat menggunakan kuih bulan sebagai alat menyampaikan mesej dengan memasukkan kertas kecil yang tertulis mesej ke dalam inti kuih. Cara penyampaian mesej ini membawa kejayaan. Kebetulan hari mereka berjaya menewaskan musuh adalah bersamaan dengan hari Perayaan Kuih Bulan. Sejak itu, masyarakat Cina membuat kuih bulan untuk meraikan Perayaan Kuih Bulan.

Asal-usul Perayaan Kuih Bulan


           Menurut dongengan, pada zaman purba, terdapat 10 buah matahari di langit, cahaya matahari yang panas terik menyebabkan tanah kering dan berasap, air di laut kering tersejat dan rakyat jelata menghadapi maut. Seorang pahlawan yang juga Raja Negeri Youqiong Dinasti Xia bernama Hou Yi mempunyai kuasa misteri dan pandai memanah. Baginda dengan gagah berani memanah jatuh 9 buah matahari, rakyat jelata memuja Hou Yi yang menyelamatkan mereka dari ancaman maut.
        Permaisuri Hou Yi bernama Chang E, merupakan seorang jelitawan. Pada suatu hari, Hou Yi memperolehi ubat panjang umur yang dihadiahkan oleh Permaisuri Wangmuniangniang. Katanya orang yang makan ubat panjang umur itu akan segera menjadi dewa atau dewi dan terbang ke kayangan. Hou Yi tidak mahu berpisah dengan permaisurinya, maka baginda tidak memakan ubat itu dan menyerahkan ubat itu kepada permaisurinya Chang E untuk disimpan.
              Perkara ini ternampak oleh Peng Meng, pengikut Hou Yi. Semasa Hou Yi keluar, Peng Meng pergi ke istana Hou Yi dan memaksa Chang E memberikan ubat panjang umur itu kepadanya. Chang E mengetahui bahawa dia tidak berdaya melawan Peng Meng, dia terpaksa memakan ubat panjang umur itu. Setelah memakan ubat itu, Chang E terbang dari bumi ke bulan serta-merta.
             Apabila Hou Yi kembali ke istana, para dayang sambil menangis telah memberitahu perkara itu kepada Hou Yi. Hou Yi yang sedih menyeru permaisurinya di bulan. Baginda mendapati bulan pada malam itu sangat bulat, besar dan terang dan dapat nampak bayang permaisurinya yang bergerak di bulan. Hou Yi bersembahyang untuk permaisurinya Chang E di bulan dengan meletakkan makanan yang disukai oleh permaisurinya.
          Setelah mengetahui Chang E terbang ke bulan dan menjadi dewi, rakyat jelata juga beramai-ramai bersembahyang dengan meletakkan pelbagai jenis makanan semoga Chang E di bulan menganugerahkan keamanan dan kesejahteraan kepada mereka. Lama-kelamaan, menyembahyangkan bulan pada 15 hb, bulan Ogos (Kalendar imlek Cina) telah menjadi adat-resam rakyat China dan menjadi Pesta Kuih Bulan orang Cina seluruh dunia

Perayaan Kuih Bulan

Perayaan Kuih Bulan
          
   Lebih kurang pada pertengahan September setiap tahun, masyarakat Cina di Malaysia akan menyambut pesta Kuih Bulan. Pesta itu dirayakan pada 15 bulan Ogos (Kalendar Imlek China), oleh sebab tarikh tersebut bersamaan pada pertengahan musim gugur, maka ia dipanggil “Zhongqiu”, maksudnya pertengahan musim gugur.

Pesta Kuih Bulan bukan sahaja merupakan perayaan tradisional rakyat China, tetapi juga merupakan perayaan tradisional orang Cina seluruh dunia. Walaupun zaman sudah berbeza, tetapi Pesta Kuih Bulan tetap merupakan kesempatan bagi orang Cina untuk mengutarakan perasaan akrab antara anggota keluarga dan sanak saudara serta berdoa memohon restu dan  nasib baik.

Khamis, 29 September 2011

Konsep Pengajaran Dan Pembelajaran


Konsep Pengajaran
Pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran yang tertentu. Ia meliputi perkara-perkara seperti aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian, yang bertujuan menyebar ilmu pengetahuan atau kemahiran kepada murid-murid dengan cara yang berkesan.

Konsep Pembelajaran
Pembelajaran merupakan proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran. Ia mempunyai beberapa peringkat yang diperolehi secara sistematik, bermula dari penerimaan rangsangan melalui organ deria, diikuti oleh pembentukan konsep dalam fikiran dan diakhiri dengan perubahan tingkah laku. Pembelajaran juga merupakan suatu proses yang berterusan. Proses pembelajaran akan berhenti apabila kehilangan motivasi atau motif pembelajaran yang sesuai.